Just another WordPress.com site

Renungan bersa ma


Affannur

Pada hari ini saya meluangkan masa saya membaca sebuah buku baru terbitan PTS. Sungguh, memang saya mendambakan cintanya. Tapi layakkah diri yang hina ini untuk mendapatkan cintanya?

Pasti kita semua tahu betapa besarnya rasa cinta baginda Rasullah s.a.w kepada umatnya. Waktu hidupnya, baginda berkorban untuk menyampaikan Islam kepada ummatnya yang amat dicintai. Di hujung hayatnya baginda masih ingat akan ummatnya. Bahkan sekarang, sehingga hari kiamat sekalipun kasihnya kepada ummatnya tidak pernah luntur.

Tetapi kasihkah kita pada baginda? Apa perasaan anda jika insan yang paling anda sayangi, yang anda sanggup berkorban untuknya tetapi dia tidak menghargai kasih anda apatah lagi membalasnya? Cukupkah kita dengan hanya sekadar menyebut-nyebut nama baginda tetapi tidak mengamalkan sunnahnya dan meneruskan perjuangannya dalam menyebarkan nikmat Islam kepada sekalian manusia?

Nabi berkata, ” Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku ini, iaitu nabi Muhammad kasih kepada dirinya melebihi kasih dari keluarga, harta dan manusia semuanya.”
(Riwayat Muslim)

Ibn Hajar al-Asqalani memberi ulasan tentang hadis yang maksudnya hampir sama dengan hadis di atas. Pengarang buku al-Mufhim berkata, “Ada orang yang membesarkan orang lain tetapi hatinya kosong dari mencintainya. Justeru, membesarkan seseorang tidak bererti kasih kepadnya. Apabila tidak ada kecenderungan dalam hatinya mengasihi nabi, imannya tidak sempurna.”

Antara cara untuk menimbulkan rasa kasih kepada Rasulullah s.a.w adalah dengan menghayati al-Quran dan sunnah. Nabi tidak meninggalkan ummatnya harta yang bertimbun tetapi Nabi meninggalkan al-Quran dan sunnah buat kita yang menjadi pembimbing sepanjang zaman. Selagi ada al-Quran dan sunnah, nabi terus menjadi saksi sama ada atas kelakuan baik ataupun kelakuan jahat manusia.

Nabi sudahpun menyampaikan kepada kita. Kita perlu menerima, beriman dan membenarkannya.

Apabila rasul-rasul dan umat manusia bertelingkah di hadapan Allah di padang Mahsyar kelak, sebahagian umat medustakan rasul-rasul mereka.

Mereka berkata “Tidak pernah seorang pemberi amaran pun yang datang kepada kami.”

Rasul menjawab, “Kami sudah sampaikan kebenaran dan amaran kepada mereka.”

Allah berkata, “Siapa menjadi saksi kamu?” Para Rasul menjawab, “Muhammad dan ummatnya.”

Umat Muhammad datang dan menjadi saksi para rasul menyampaikan.

Allah berkata, “Bagaimana kamu tahu?”

Umat Muhammad menjawab, “Nabi kami memberitahu para rasul menyampaikan. Lantas kami membenarkan.”

(Riwayat Bukhari)

Sekuat manakah cinta kita kepada baginda? Mahukah baginda menerima kita sebagai ummatnya? Ya Rasulullah, semoga pada hari di mana aku memerlukan syafaatmu, engkau menerimaku sebagai umatmu dan menyambutku dengan senyuman, dengan penuh rasa kasih. Wahai kekasih Allah, sesungguhnya aku amat merinduimu. Wahai cahaya di atas cahaya, semoga dengan bimbinganmu aku dapat melepaskan diri dari permainan dunia yang penuh dengan helah yang licik. Wahai pembawa rahmat, semoga aku dapat menjadi umatmu yang terbaik dan berjaya mendapat cintamu seterusnya mencapai redhaNya.

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai manifestasi cinta kita kepada baginda.

Posted by pencinta bahasa at

Sebuah Perjalanan

Assalamu’alaikum..

Saya mempunyai seorang bapa saudara yang sangat minat membaca. Sewaktu beliau bertandang di rumah saya, saya menunjukkannya buku-buku yang saya baca. Beliau bertanya apa yang saya suka tentang buku-buku tersebut. Maka saya jawab kerana ceritanya yang menarik dan diselit dengan fakta-fakta yang berguna. Kemudian beliau memberikan komentar yang mengubah penilaian saya terhadap sesuatu bahan bacaan. Katanya;

“Penggunaan bahasa dan jalan cerita hanyalah sebagai satu alat untuk membawa pembaca kepada mesej dan idea yang ingin disampaikan oleh penulis. Jalan cerita merupakan satu perjalanan menuju ke satu destinasi yang ingin dibawa oleh penulis. Dengan mengamati sesuatu karya juga kita dapat memahami pemikiran si penulis. ”

Saya pernah tertanya-tanya kenapa beliau gemar membaca karya-karya sastera inggeris. Sekarang baru saya faham bahawa ianya salah satu cara untuk memahami cara orang-orang barat berfikir. Mengapa kita habiskan masa untuk membaca sebuah karya hanya untuk mengetahui sebuah cerita sedangkan kita boleh dapat lebih daripada itu. Carannya adalah dengan membawa pemikiran kita ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk menambahkan lagi pemahaman saya, saya telah membaca sebuah karya sasterawan negara Shahnon Ahmad yang bertajuk KESASTERAWANAN: KEPOLITIKAN KEALAMAN KEDIRIAN KEMANUSIAAN. Buku ini sangat menarik kerana ianya ditulis secara spontan untuk menerangkan tentang bidang kesasterawanan. Antara isi yang menarik perhatian saya ialah:

“Kesasterawanan sinonim dengan kehalusan, baik kehalusan jalinan kisah manusia dan kemanusiaannya, mahupun kehalusan wawasannya.”

“Dalam alam kesasterawanan yang besar, wawasan bukan sahaja indah dan halus tersifat dalam jalinan-jalinan kerahsiaan perwatakan yang canggih dan pelbagai, bukan sahaja terpendam jauh ke dalam lubuk-lubuk kisah yang berbelit dan perlu diterokai dan dipugar sedalam-dalamnya untuk menghayatinya tetapi juga kadang-kadang menuntut daya kekuatan yang luar biasa untuk menjenguk wawasan yang wujud sedemikian rupa. Dia tidak ada kalau dilihat sekali imbas dengan daya persepsi yang tohor tetapi dia ada bila persepsi itu digabungkan dengan analisis yang kritis serta mengorek maknanya melalui simbol-simbol yang kadang-kadang begitu personal sifatnya. Wawasan itu pula tidak wujud dalam ketulan-ketulan yang pejal dan berdaging seperti masaknya yang terhidang tetapi ianya cuma boleh dirasa sesudah menjamah, mengunyah dan menelannya, malah kadang-kadang lama sudah melalui proses pengunyahan, penelanan itulah baru terasa keberkesanan keindahan dan kebenarannya kerana wawasan itu menjerap masuk ke dalam darah yang mengalir melalui urat saraf dalam tubuh dan muncul dalam pemikiran dan emosi kemudian.”

Saya juga pernah diajar oleh guru saya bahawa dalam sesebuah karya terdapat banyak elemen tetapi di penghujungnya kita akan dapat sesuatu yang lain. Sebagai contoh kek mengandungi bahan-bahan seperti tepung, telur dan gula tetapi apabila kek itu dimakan rasanya langsung tidak sama dengan memakan tepung sahaja atau telur sahaja atau gula sahaja. Sebaliknya bahan-bahan tersebut telah teradun dan menghasilkan satu rasa yang sememangnya berbeza.

Kesimpulannya, setiap kali menjamah sesuatu karya hayatilah setiap elemen dan adun elemen-elemen tersebut menggunakan akal supaya kita dapat sampai ke destinasi yang ingin dibawa oleh penulis.

Posted by pencinta bahasa at

Wednesday, Feb 2011

,mencari kesempurnaan akhlaj

Akhlak ialah perbuatan, perkataan, dan tingkah laku yang elok serta indah berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Islam dan akhlak yang mulia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Rasululluh s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Ini bermakna akhlak yang baik itu penting dalam usaha mencapai kesempurnaan iman. Iman seseorang itu bergantung sejauh mana penghayatannya terhadap akhlak yang mulia.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling banyak berbuat baik kepada isterinya.

Akhlak yang baik dapat menjaga hubungan manusia dengan penciptanya dan hubungan sesama manusia. Sebagai agama yang syumul, Allah s.w.t telah menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi dalam setiap aspek kehidupan seharian kita melalui Al-Quran dan sunnah . Terdapat pada Rasululluh s.a.w itu contoh yang terbaik buat kita.

Sesungguhnya, bagi kamu diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah ”
(Surah al-ahzab ayat 21)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung
(QS al-Qalam ayat 4)

Dr.Danial Zainal Abidin dalam bukunya “Tip-tip Cemerlang Daripada Quran” mengatakan bahawa tanpa akhlak dan budi pekerti, tidak akan ada kecermerlangan dan akhlak yang tinggi menjadi kekuatan yang penting dalam dakwah nabi. Dalam buku yang sama, Dr.Danial Zainal Abidin turut menyatakan cara-cara membentuk akhlak.

“Bagaimana Membentuk Akhlak?

Ramai orang gagal memperbaiki akhlak mereka kerana mereka tidak mengenali kelemahan diri sendiri. Mereka sering terpedaya dengan diri sendiri dengan merasakan akhlak mereka sudah cukup baik. Di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali, dalam bab Latihan Jiwa, Permurnian Akhlak dan Pengubatan Penyakit Hati, mengutarakan beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi mengubah akhlak individu.
1. Berguru dengan guru yang mampu mendidik kita. Guru itu mestilah seorang yang bersih hatinya dan mantap agamanya. Beliau mampu melihat kelemahan yang ada pada diri kita dan mampu memberikan petunjuk berkaitan dengan cara memperbaiki diri dan mengubati kelemahan itu.

2. Berkawan dengan seorang yang baik serta mantap agamanya. Sahabat kita itu dapat membantu kita bagi memperbaiki akhlak dan kita perlu menerima teguran ikhlas daripadanya. Inilah jalan yang pernah dilalui oleh tokoh-tokoh Islam sebelum ini. Sahabat Omar bin Khattab pernah bertanya kepada Salman Farisi, “Apakah kelemahan yang kamu ketahui tentang diriku?” Sahabat Salman terus menyebutkan dua kelemahan yang ada pada Omar dan Omar menerimanya dengan baik. Mengikut laporan yang lain, Omar pernah bertanya kepada Huzaifah, “Adakah kamu nampak dalam diriku tanda-tanda kemunafikan?” Sahabat Huzaifah berkata, “Tidak ada.” Begitu;ah caranya sahabat-sahabat nabi bersahabat.

3. Memaafkan komen-komen negatif daripada musuh. Sepatutnya, manusia lebih banyak memaafkan komen musuh yang menceritakan berkenaan kekurangan dirinya daripada mendengar puji-pujian kawan yang mahu mengampunya. Individu-individu biasa menganggap komen-komen musuh sebagai pandangan yang tidak bernilai. Sebaliknya, individu-individu yang tajam mata hatinya suka mengambil manfaat daripada komen-komen itu.

4. Mengambil iktibar daripada kelemahan orang lain. Dalam pergaulan, kadangkala kita akan melihat perangai dan sifat negetif orang lain. Pada masa itu, kita perlu menjadikan kelemahan orang itu sebagai kelemahan kita yang perlu kita perbaiki. Jadikan orang lain sebagai cermin diri kita kerana orang mukmin itu cermin bagi mukmin lain. Nabi Isa pernah ditanya, “Siapakah yang medidik engkau?” Nabi Isa menjawab, “Aku melihat orang bodoh dengan kebodohannya dan (aku mendidik diri) dengan menjauhi kebodohan itu.” ”

Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa dikehendaki oleh Allah kepadanya kebajikan, nescaya dianugerahiNya kepadanya teman yang baik. Kalau ia lupa, maka teman itu akan memperingatinya. Dan jikalau ia teringat, maka teman itu yang akan menolongnya.”

Nabi s.a.w. bersabda: “ Dua orang bersaudara itu, apabila berjumpa, adalah seumpama dua tangan, yang satu membasuh yang lain. Dan tidaklah sekali-kali dua orang mu’min itu bertemu melainkan diberi faedah oleh Allah dengan kebajikan akan salah seorang dari keduanya dari temannya.”

Nabi s.a.w. bersabda: “ Hai Abu Hurairah! Haruslah engkau berbaik budi.”
Lalu Abu Hurairah ra. bertanya: ” Bagaimanakah budi yang baik itu, wahai Rasulullah?”
Nabi s.a.w. menjawab: ” Engkau menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dengan engkau, engkau memaafkan orang yang berbuat zalim dengan engkau dan engkau memberikan kepada orang yang tidak mahu memberikan kepada engkau”

Tinggalkan komentar